MENU
 
KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG
 

Pengesahan PKPB di Pahang dengan pengubahsuaian wajar kepada SOP

Kerajaan Pahang mengesahkan persetujuan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), setelah mengkaji dan memperhalusi serta melakukan pengubahsuaian wajar ke atas Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan.

Paling utama Kerajaan Pahang tekankan ialah aspek penguatkuasaan, yang akan dipertingkatkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan berkenaan termasuk dalam kalangan Pihak Berkuasa Tempatan-Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini bagi memastikan kesihatan awam atau rakyat (ENG; public health), terus terpelihara apabila sektor ekonomi dan sektor awam tertentu dibuka semula sepertimana ditetapkan di bawah PKPB.

Kerajaan Pahang telahpun menurunkan kuasanya kepada PBT-PBT ini sepertimana dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas (6 Mei 2020).

Perkara ini juga turut dibincang dan diperhaluskan lagi pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang saya pengerusikan, hari ini.

Apa yang Kerajaan Pahang lakukan ini selari dengan yang telah saya nyatakan dalam kenyataan media bertarikh 3 Mei 2020, antara lain menyebut tentang sokongan tetapi meminta untuk ‘mengkaji dan memperhalusinya agar sesuai dengan kedudukan semasa penularan wabak pandemik COVID-19 di Pahang'.

 
Dato' Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
8 Mei 2020
Kemaskini Terakhir: Khamis, 28 Mei 2020 - 12:37pm